
ORANG ramai melihat beberapa mayat bergelimpangan selepas berlakunya kejadian letupan di sebuah masjid di Sanaa, Yemen, semalam. - REUTERS
SANAA 20 Mac - Sekurang-kurangnya 87 orang terbunuh, manakala 260 lagi cedera selepas tiga pengebom berani mati bertindak menyerang dua buah masjid yang menjadi tumpuan anggota pemberontak Huthi, di sini, hari ini.
Laman web Tribune.com memetik kenyataan seorang saksi sebagai berkata, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di Masjid Badr, selatan Sanaa, sebelum diikuti letupan kedua di sebuah pagar di masjid yang sama pada ketika para jemaah cuba menyelamatkan diri.
Kata saksi, serangan pengebom berani mati yang ketiga berlaku di Masjid Al-Hashahush, utara Sanaa.
Pasukan kecemasan berkata, sekurang-kurangnya 87 mayat termasuk kanak-kanak dihantar ke dua buah hospital di bandar Ibb.
Menurut sumber, Gabenor Wilayah Ibb dilaporkan merupakan antara mereka yang cedera dalam serangan yang dilancarkan ketika umat Islam mengerjakan sembahyang Jumaat di masjid itu.
Dalam perkembangan lain, sekurang-kurangnya dua orang terkorban, manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah bom yang diletakkan di sebuah motosikal meletup di luar masjid di Karachi, hari ini.
Polis berkata, letupan berkenaan berlaku di sebuah masjid di Aram Bagh yang juga merupakan kawasan utama penempatan penduduk berfahaman Syiah.
Saksi, Saif-ud-Din berkata, letupan berlaku selepas selesai sembahyang Jumaat ketika orang ramai berpusu-pusu keluar dari masjid. – AFP/AGENSI
No comments:
Post a Comment