JUMAAT, 27 MAC 2015 @ 8:07 PM


BATU dan tayar diletakkan di tengah jalan dijadikan halangan dan sekatan jalan raya di bandar Yaman selatan Aden. - Foto AFP
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Aden, Yemen kini berkurung di kediaman masing-masing berikutan serangan udara diketuai Arab Saudi bersama jiran sekutunya pada pagi Khamis.
Mengikut seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Seiyun, Hadhramaut, kira-kira 800 kilometer dari Sana'a, Aden, semua pelajar bertindak sedemikian bagi menjaga keselamatan masing-masing.
"Saya kurang pasti siapa yang mengeluarkan nasihat itu, tetapi perkara itu disebar dalam kalangan komuniti pelajar di sini," katanya kepada BERNAMA menerusi Facebook.
Beliau yang enggan dikenali menyatakan para pelajar berada dalam keadaan baik.
Buat masa ini, beliau masih tidak berniat untuk meninggalkan Yemen dan mengikuti perkembangan semasa melalui Facebook 'Persatuan Pelajar Malaysia Yemen'.
Laman Facebook berkenaan menyatakan kejadian serangan jauh daripada penempatan warga Malaysia di Sana'a.
Laporan asing menyebut serangan dilakukan bagi mengekang kemaraan pemberontak Houthi.
Presiden Yemen, Abd-Rabbu Mansour Hadi dilapor meninggalkan Aden untuk ke Arab Saudi pada Khamis ketika puak pemberontak bertempur dengan pasukannya di pinggir bandar raya pelabuhan selatan.
Wisma Putra turut memaklumkan warga Malaysia selamat daripada serangan, yang disahkan Kedutaan Malaysia di Sana'a. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment