Jurucakap Pertubuhan Migrasi Antarabangsa Migrasi (IOM), Joel Millman berkata, bedilan di Kem Pelarian Al-Mazraq di wilayah Hajjah itu, turut mengakibatkan 65 mangsa cedera.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan pihak manakah yang bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
Agensi perubatan Doctors Without Borders (MSF) berkata, sebanyak 500 buah keluarga baharu berlindung di kem tersebut sejak dua hari lalu selepas tentera bersekutu diketuai Arab Saudi melancarkan serangan menggempur kumpulan pemberontak Houthi sejak Khamis lalu.
Sejak 2009, kem itu menempatkan penduduk Yemen yang menjadi pelarian susulan konflik antara kumpulan pemberontak Houthi dengan Kerajaan Pusat.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 38 orang lagi terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak Syiah Houthi dan puak bersenjata yang menyokong Presiden, Abdrabbuh Mansour Hadi di selatan negara ini, semalam.
Menurut sumber keselamatan, pertempuran itu tercetus selepas kumpulan bersenjata menyerang kedudukan pemberontak Houthi dekat kawasan Usaylan di wilayah Shabwa yang kaya dengan sumber minyak.
“Pemberontak Houthi dan sekutunya yang menyokong bekas Presiden Ali Abdullah Salleh, kehilangan 30 anggota, manakala kumpulan bersenjata kehilangan lapan anggota,” jelas sumber tersebut.
Pertempuran itu berlaku ketika pesawat perang tentera bersekutu diketuai Arab Saudi menggempur ibu negara, Sanaa sejak malam semalam dan awal hari ini, memasuki serangan hari kelima berturut-turut bagi melemahkan kedudukan pemberontak Houthi.  AFP/AGENSI