29 Mac 2015

Diplomat dibawa keluar dari Sanaa Sekumpulan penduduk bersenjata yang setia kepada Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi berkumpul di daerah Dar Saad sebagai persediaan menghadapi pemberontak Houthi. Foto oleh AFP
DUBAI - Tentera Laut Arab Saudi mula membawa keluar puluhan diplomat asing dari bandar pelabuhan selatan Aden di Yaman, menurut media tempatan semalam.
"Angkatan Laut Diraja Saudi melaksanakan operasi Hurricane untuk memindahkan puluhan diplomat termasuk rakyat Arab Saudi dari Aden," menurut stesen televisyen al-Ekhbariya.
Menurut Press TV, stesen itu turut menyatakan bahawa kesemua diplomat terbabit selamat tiba di Jeddah.
Bulan lalu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait memanggil semula dutanya selepas pemberontak Houti menawan Sanaa.
Beberapa negara Arab dan Barat turut mengambil langkah sama selepas tahap keselamatan di Yaman semakin merosot.
Sementara itu, tentera pakatan Teluk diketuai Arab Saudi menyerang satu konvoi pemberontak Houthi yang terdiri daripada kereta kebal dan lori tentera dalam perjalanan dari Shaqra ke Aden.
Saksi berkata, serangan udara itu dilakukan pada waktu subuh, semalam.
Serangan udara ke atas kedudukan pemberontak Houthi kini memasuki hari ketiga.
Arab Saudi sebelum ini menegaskan serangan ke atas Yaman akan diteruskan dari semasa ke semasa selagi ia diperlukan.
No comments:
Post a Comment