SANAA - YAMAN. Serangan udara dilancarkan Arab Saudi bersama sekutunya telah memusnahkan keupayaan peluru berpandu milik pemberontak Houthi, menurut jurucakap operasi itu, kelmarin.

Jeneral Ahmed Assiri berkata, mereka yakin sebahagian besar senjata tersebut telah dimusnahkan dan kempen ketenteraan itu akan diteruskan untuk menyasarkan kesemua tempat simpanan bekalan misil berkenaan.

"Kami percaya pemberontak Houthi kini memiliki pelbagai jenis peluru berpandu termasuk balistik selepas rampasan kuasa pada September lalu," katanya.

Sementara itu, pegawai diplomatik Teluk memaklumkan operasi ketenteraan selama tiga hari yang disertai 10 negara itu berjaya mencapai matlamat awal.

Menurut saksi, gabungan Arab tersebut turut menyasarkan pangkalan tentera udara di wilayah barat Hodeidah dan dua lagi kubu kuat pemberontak di Saada dalam serangan terbaharu mereka.

Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan telah mula memindahkan kakitangan mereka sebagai langkah keselamatan.

Tindakan itu dibuat selepas Presiden Yaman, Abd Rabbuh Mansur Hadi menggesa negara sekutunya supaya meneruskan kempen ketenteraan itu sehingga pemberontak Houthi yang disifatkan sebagai boneka Iran menyerah diri.

"Operasi ini perlu diteruskan untuk memberi tekanan kepada mereka supaya menyerah kalah," tegasnya.

Difahamkan, pemimpin tersebut kini berada di Riyadh selepas menyertai Sidang Kemuncak Liga Arab di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Mesir. - AFP