SANAA 17 Mac – Kumpulan militan Huthi hari ini membebaskan Perdana Menteri, Khaled Bahah dan kesemua anggota Kabinet selepas ditahan di dalam rumah selama dua bulan.
Khaled dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya berkata, tindakan pembebasan itu merupakan satu petanda baik kepada perubahan aliran politik di Yemen.
“Situasi seperti ini hadir setelah wujudnya sikap jujur yang kuat, kerajaan juga sudah mengesahkan tidak akan menyerahkan kuasa kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Pembebasan ini membuka jalan kepada anggota politik menjalankan tanggungjawab negara supaya proses peralihan berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Militan Huthi bertindak menawan ibu negara Sanaa dan beberapa buah bandar di negara ini pada September lalu dalam tindakan yang disifatkan sebagai revolusi untuk menentang ketidakcekapan pentadbiran kerajaan dan rasuah.
Kepimpinan Presiden, Abd-Rabbu Mansour Hadi mula tergugat selepas kumpulan militan berkenaan menawan kediamannya dan memaksa beliau, Khaled dan semua anggota Kabinet ditahan di dalam rumah pada bulan Januari lalu. – REUTERS
No comments:
Post a Comment