Awal bulan ini, Abdrabbuh meninggalkan Sanaa ke Aden selepas melarikan diri daripada dikenakan tahanan rumah oleh puak Houthi dan menguruskan pentadbiran kerajaan dengan sokongan militan dan unit tentera yang masih setia.
Namun sumber yang rapat dengan beliau berkata, Presiden telah bersedia untuk berpindah ke lokasi lain sejak Ahad lalu apabila pemimpin pemberontak, Abdul-Malik al-Houthi berikrar mahu menguasai selatan negara ini selain melabelkan Abdrabbuh sebagai boneka antarabangsa.
Menurut laporan Washington, Abdrabbuh meninggalkan bandar pelabuhan Aden menggunakan kapal dan berada dalam keadaan selamat di lokasi rahsia selain berhubung dengan pegawai AS sejak beberapa hari lepas.
Pemberontak Houthi turut meletakkan ganjaran sebanyak AS$100,000 (RM366,533) bagi sesiapa yang berjaya menangkapnya.
Penduduk tempatan di Aden dilapor memecah masuk dan mencuri barangan di kediaman rasmi kedua Presiden beberapa jam selepas beliau melarikan diri.
Pengunduran Abdrabbuh yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat (AS), sekali gus menandakan kejatuhan bandar pelabuhan strategik Aden dan meletakkan Yemen di ambang kejatuhan.
Selain itu, Yemen terdedah kepada perang saudara antara kuasa puak Sunah dan Syiah apabila pemberontak Houthi menguasai sebahagian besar wilayah utara termasuk ibu negara, Sanaa, dan beberapa wilayah di selatan termasuk bandar ketiga terbesar Taez dan wilayah Lahj.
Di Lahj, pemberontak Houthi menahan Menteri Pertahanan, Mejar Jeneral Mahmoud al-Subaihi dan menguasai Pangkalan Tentera Udara Al-Anad yang ditinggalkan oleh tentera AS untuk memerangi pengganas al-Qaeda. – AFP/REUTERS