Thursday, 26 March 2015

Arab Saudi pindah senjata berat ke sempadan Yemen



PEJUANG yang setia kepada Presiden Yemen, Abd-Rabbu Mansour Hadi memandu dua kereta kebal di pangkalan udara al-Anad , selatan Yemen kelmarin.


WASHINGTON – Arab Saudi memindahkan sen­jata berat termasuk me­riam ke kawas­an sempadannya de­kat Yemen, kata beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Perkembangan tersebut meningkatkan risiko negara pengeluar minyak utama di Asia Barat itu terjerumus ke dalam konflik Yemen yang semakin meruncing.
Pemindahan senjata berat itu susulan kemaraan militan Syiah Houthi ke selatan Yemen.
Puak Houthi yang disokong Iran menawan ibu negeri Yemen, Sanaa pada September lepas dan merampas bandar Taiz, tengah negara itu pada hujung ming­gu lalu sebelum menghampiri kubu Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi (gambar) di selatan Yemen.
Prospek perang saudara di Yemen menjadikan negara itu gelanggang penting dalam per­sengketaan antara Arab Saudi dan Iran yang didakwa Riyadh telah menghasut perbalahan mazhab kerana sokongannya kepada puak Houthi.
“Senjata berat dan meriam yang digerakkan oleh Arab Saudi boleh digunakan bagi tujuan serangan dan pertahanan,” kata dua sumber AS
Teheran menyokong puak Houthi yang berpegang kepada ajaran Syiah Zaydi, manakala Riyadh memberikan sokongan kepada Hadi.
Sehingga kini, Hadi dan tentera yang setia kepadanya masih berkubu di bandar Aden, selatan Yemen sejak beliau melarikan diri dari Sanaa pada Februari lalu.
Konflik di Yemen berisiko merebak ke sempadannya dengan Arab Saudi sepanjang 1,800 kilometer. Ia turut mengancam Wilayah Timur di Arab Saudi yang didiami penduduk Syiah.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3VJuQqcx9 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment