
Sebahagian penduduk awam bergegas pulang selepas melarikan senjata dari depot tentera di bandar Aden, selatan Yemen, kelmarin. REUTERS
SANAA 28 Mac - Tentera bersekutu diketuai Arab Saudi menggandakan serangan terhadap kumpulan pemberontak Houthi di Yemen pada hari ketiga operasi, selain didakwa telah menguasai sepenuhnya ruang udara negara ini.
Serangan udara awal hari ini dilancarkan di bandar Hudaydah di Pantai Laut Merah, kubu kuat Houthi di Saada, utara Yemen, serta kemudahan-kemudahan kumpulan tersebut di ibu negara, Sanaa.
Turut disasarkan adalah pangkalan udara Presiden Yemen sebelum ini, Ali Abdullah Saleh yang memerintah negara ini selama lebih 30 tahun. Beliau dilapor berlindung di Sanhan, berhampiran ibu negara.
Menurut seorang jurugambar AFP, serangan hari ini adalah yang paling dahsyat sejak Operasi Ribut Genting dilancarkan lewat Rabu lalu yang menyaksikan bedilan berterusan sehingga waktu Subuh.
Stesen televisyen tempatan melaporkan, Arab Saudi turut melancarkan Operasi Puting Beliung yang bertujuan membawa pulang diplomat asing dari Aden menggunakan kapal-kapal perangnya.
Pegawai Kementerian Kesihatan Yemen menyatakan, sebanyak 61 penduduk awam terkorban sementara 203 cedera sejak operasi dilancarkan, namun kematian di pihak Houthi tidak pula didedahkan.
Dalam satu insiden semalam, sekurang-kurangnya 21 anggota kumpulan pemberontak Houthi terbunuh dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan anggota puak bersenjata ketika dalam perjalanan meneruskan kemaraan dari wilayah Lahj ke Aden.
Pegawai keselamatan berkata, insiden tersebut berlaku kira-kira 15 kilometer di utara Aden di lokasi dikuasai kumpulan militia anti-Houthi ketika kumpulan berkenaan terus berdepan serangan udara 10 negara bersekutu diketuai Arab Saudi.
Kejadian berlaku apabila konvoi tiga kenderaan dinaiki anggota kumpulan pemberontak berkenaan diserang hendap militia.
Sementara itu di Yemen, pelaksanaan operasi berkenaan dikhuatiri mencetuskan krisis kemanusiaan apabila penduduk kini mula meninggalkan rumah masing-masing dan mencari tempat perlindungan.
Wartawan Al-Jazeera di Aden, Bashrahil Hesham Bashrahil berkata, keadaan di bandar dan jalan-jalan yang sibuk kini lengang.
“Banyak pasar dan perniagaan ditutup. Selain mengalami kekurangan bekalan makanan, penduduk juga tidak dapat mengeluarkan wang kerana bank-bank ditutup sejak kelmarin,” ujarnya. – AFP/AGENSI
No comments:
Post a Comment