Friday, 27 March 2015

Tinggalkan istana presiden


Sanaa: Presiden Yaman Abed Rabbo Mansour Hadi meninggalkan istananya di Aden ke lokasi yang tidak diketahui sementara pemberontak Syiah Huthi menawarkan hadiah kepada mereka yang berjaya menangkapnya.

Dalam pada itu, kumpulan berkenaan juga menahan menteri pertahanan Abed.

Pemimpin Yaman itu meninggalkan istananya beberapa jam selepas stesen televisyen yang dikuasai Huthi menyiarkan laporan mereka berjaya menawan pangkalan udara yang digunakan tentera Amerika dan Eropah untuk membantu kerajaan Yaman memerangi miltan al-Qaeda.

Pangkalan udara itu terletak hanya 60 kilometer dari Aden, bandar pelabuhan tempat Abed berlindung selepas melarikan diri dari Sanaa.

Kemaraan pemberontak Syiah itu yang dibantu oleh tentera Yaman yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh mengancam menjerumuskan negara Arab paling miskin itu ke kancah perang saudara yang mungkin melibatkan negara jirannya.

Saksi berkata, mereka melihat konvoi kenderaan presiden meninggalkan istana Abed yang terletak di puncak sebuah bukit di Aden.

Pegawai presiden berkata, Hadi mengendalikan bilik operasi untuk memimpin tindak balas tenteranya terhadap serangan Huthi. Mereka bagaimanapun enggan memberitahu lokasi bilik operasi berkenaan.

Stesen televisyen Yaman melaporkan Huthi menawarkan AS$100,000 (RM367,000) untuk menangkap Abed.

Menteri Pertahanan Mejar Jeneral Mahmoud al-Subaihi dan pegawai kanannya ditangkap di Lahj, bandar di selatan Yaman, tempat pertempuran antara Huthi dengan tentera kerajaan masih berlaku.

Mereka kemudian dibawa ke Sanaa.

Pegawai Yaman mengaku militan dan unit tentera yang setia kepada Abed kini kucar-kacir, memudahkan kemaraan Huthi.

Menurut mereka, pemberontak Syiah itu bertempur dengan tentera Yaman di lima kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 8:53 AM

SEBUAH helikopter Yaman yang dipandu pasukan yang setia kepada militan Huthi terbang atas sebuah kereta kebal yang digunakan kumpulan pemberontak Syiah itu untuk mengawal istana presiden di Sanaa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39351#sthash.N7qkgdKf.dpuf

No comments:

Post a Comment