Antara negara yang terlibat dalam serangan tersebut adalah Mesir, Sudan, Pakistan, dan Jordan manakala negara anggota GCC yang menyertai operasi itu adalah Bahrain, Kuwait, Qatar, dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS), Adel al-Jubeir berkata, setakat ini, hanya operasi serangan udara dilancarkan, tetapi aset tentera yang lain termasuk kereta kebal telah dikerah ke sempadan Yemen sebagai menghadapi sebarang kemungkinan.

Adel berkata, selain negara-negara Arab dan anggota GCC, beberapa negara luar termasuk AS turut terlibat dalam operasi tersebut tetapi hanya melibatkan penyelarasan tentera dengan Arab Saudi dan sokongan perisikan.
“Kami mempunyai sembilan sekutu yang terlibat dalam operasi ini bagi mengelakkan kerajaan sah Yemen yang dipimpin oleh Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi daripada tumbang dan mengekang pemberontak Houthi mengambil alih pemerintahan.

“Aset tentera udara Arab Saudi digunakan dalam serangan ini dan sejumlah pesawat dari beberapa negara lain dalam perjalanan untuk membantu operasi,” katanya tanpa mendedahkan nama negara yang menyalurkan aset tersebut.
Dalam pada itu, Adel berkata, serangan udara itu dilancarkan selepas pemberontakan Houthi di Yemen sampai ke kemuncaknya dan boleh mencetuskan ancaman yang lebih besar jika tidak dikekang.
“Kita berdepan situasi yang menyaksikan kumpulan pemberontak menguasai sistem peluru berpandu balistik, senjata berat, dan sebuah pangkalan udara.
“Situasi ini sangat berbahaya dan kita perlu mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan rakyat Yemen dan kerajaan sah negara itu,” katanya sambil menambah tiada pemberontak yang pernah mempunyai kekuatan tentera udara dalam sejarah.
Menurut sumber jabatan pertahanan awam Yemen, sekurang-kurangnya 18 orang awam terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita antara mangsa yang terbunuh selepas tujuh buah rumah musnah dalam serangan udara dekat sebuah pangkalan tentera udara dan lapangan terbang antarabangsa di Sanaa.
Dalam perkembangan sama, rangkaian berita tempatan, Al Arabiya melaporkan, tentera bersekutu yang diketuai Arab Saudi mengisytiharkan ruang udara Yemen sebagai zon larangan ekoran serangan ke atas kedudukan puak pemberontak Houthi.
Selain itu, kapal-kapal asing turut diberi amaran agar tidak menghampiri pelabuhan yang terdapat di Yemen.
Jelas laporan itu, sebanyak 100 pesawat dan 150,000 askar telah dikerah untuk menyertai operasi di Yemen manakala Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, dan Kuwait turut mengerahkan pesawat tempur bagi membantu Arab Saudi.
“Mesir, Pakistan, Jordan, dan Sudan juga menyertai operasi menggempur puak Syiah Houthi menerusi serangan darat,” tambah laporan itu. – AFP/REUTERS