Monday, 30 March 2015

Kem pemberontak terus dibedil di Yaman



PENDUDUK Yaman berkumpul di sebelah kenderaan yang terbakar didakwa milik pejuang Huthi di bandar pelabuhan selatan Aden, Yaman. - Foto EPA
SANAA: Pesawat tentera pakatan diketuai Arab Saudi terus membedil kem pemberontak di Yaman hari ini yang masuk hari kedua serangan udara ketika Presiden Abedrabbo Mansour Hadi tiba di Mesir bagi memulakan rundingan dengan sekutu Arabnya.
Pemberontak Huthi dari kumpulan Syiah dilihat semakin memberi ancaman terutama di selatan Semenanjung Arab dan susulan serangan udara besar-besaran itu, satu saranan gencatan senjata dikeluarkan oleh bekas presiden, Ali Abdullah Salleh yang disyaki menjadi sekutu pemberontak.
Setakat ini sekurang-kurangnya 39 orang awam terbunuh dalam serangan diketuai Arab Saudi ke atas kubu kuat Huthi dan penyokongnya, demikian menurut pegawai kesihatan Sanaa.

ANGGOTA keselamatan Yaman berada di tempat bedilan serangan udara Arab terhadap pemberontak Huthi berhampiran Lapangan Terbang Sanaa. - Foto AFP
Kira-kira 12 daripada mereka maut ketika kediaman mereka dibedil dalam operasi di sekitar pangkalan tentera di utara Sanaa.
Saksi berkata, serangan turut membabitkan kem briged tentera yang dikuasai Huthi di Wilayah Amran di utara Sanaa, depot tentera dan kubu kuat Huthi di Saada.
Hadi yang mendapat sokongan Barat dan negara Arab terbang ke Mesir hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Liga Arab yang dilihat memberi tumpuan kepada konflik di Yaman.
Arab Saudi berkata, setakat ini lebih 10 negara sudah menyertai pakatan anti-Huthi.

RAKYAT Yaman berhimpun menunjukkan sokongan untuk serangan udara Arab yang dipimpin terhadap pemberontak Syiah, yang dikenali sebagai Huthi. - Foto AP
Laporan juga menyebut, Arab Saudi sudah mengerahkan 100 pesawat pejuang dengan 67 pesawat didatangkan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar dan Bahrain.
Arab Saudi juga mengerakkan lebih 150,000 askarnya berdekatan sempadan. - AFP

No comments:

Post a Comment