Krisis politik Yaman meruncing
SELEPAS pengunduran bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dan penyerahan kuasa kepada timbalannya Abdul Rabbuh Mansur Hadi pada 27 Februari 2012, keadaan politik di Yaman boleh dikatakan menjadi semakin tegang.

Kebangkitan kumpulan pemberontak minoriti Syiah dikenali sebagai Houthi yang mengambil alih kerajaan dan membubarkan Parlimen jelas menunjukkan negara itu berada dalam kekacauan politik yang serius.

Pengumuman Perlembagaan sementara dan pembentukan kerajaan baharu diumumkan kumpulan terbabit selepas krisis politik berlarutan selama beberapa minggu.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mendakwa Houthi melakukan rampasan kuasa dan mengecam tindakan kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai ancaman besar kepada keselamatan serta kestabilan rantau itu.

Susulan daripada itu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) meluluskan penggubalan resolusi konflik di Yaman dan menggesa pihak terlibat berunding untuk menamatkan krisis.

15 anggota majlis dunia juga menggesa Houthi menarik balik tentera mereka dari institusi kerajaan selain menggesa pembebasan Presiden Hadi serta kabinetnya dari tahanan rumah.
 
Tragedi September
 
Kumpulan Houthi yang memulakan perang politik berdarah sejak 2004 untuk menuntut ekonomi lebih luas di wilayah Saada di sebelah utara Yaman.

Pertempuran sengit di utara dan barat Sanaa yang berterusan September lalu menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan banyak nyawa.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah gagal pada awalnya untuk menjadi pengantara perjanjian damai antara dua pihak yang berperang.

Akhirnya pada 21 September, satu perjanjian damai PBB antara pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman berjaya ditandatangani bagi mengakhiri krisis politik di negara itu. Manakala Houthi menguasai bangunan kerajaan, stesen radio negeri dan TV di ibu negara.

Antara isi kandungan perjanjian, Hadi perlu melantik kerajaan baharu dalam tempoh sebulan dari perjanjian itu. Tiga hari selepas perjanjian ditandatangani, presiden akan melantik dua penasihat, dari Houthi dan dari Selatan serta melantik perdana menteri baharu.

Perjanjian juga akan menyaksikan pembubaran kerajaan peralihan semasa dan digantikan dengan kerajaan baharu, pimpinan Abdul-Malik al-Houthi di mana Houthi diberikan beberapa jawatan Kabinet.
 
Perintah berkurung di beberapa tempat
 
Pihak berkuasa Yaman melaksanakan perintah berkurung dari pukul 9 pagi hingga 6 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu, 20 September, di beberapa daerah barat laut Sanaa termasuk Shamlan, Al-Madhbah, Thabat dan Balaa.

Langkah itu diambil selepas pemberontak mengambil alih bangunan televisyen negara dan melepaskan tembakan kepada tentera meskipun terdapat isyarat perjanjian telah dicapai untuk menamatkan keganasan.

Difahamkan, pasukan penyelamat menemui hingga 200 mayat sejak pertempuran awal September lalu.