IS mengaku serang masjid
Orang ramai mengangkat mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan berani mati di masjid Syiah di Sanaa, kelmarin. Foto: AFP
SANAA - YAMAN. Cawangan kumpulan militan IS di Sanaa mengaku bertanggungjawab melancarkan dua pengeboman nekad di masjid Syiah di Yaman yang membunuh 142 orang, kelmarin.

Menurut AFP, ia adalah serangan pertama didalangi IS di negara terbabit.

Serangan tersebut menyasarkan puak Syiah Houthi yang ketika ini menguasai ibu kota Sanaa, hingga memaksa Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi melarikan diri ke wilayah lain.

Difahamkan, serangan berlaku ketika solat Jumaat di masjid Badr di selatan Sanaa dan masjid al-Hashush di utara Sanaa.

Ahli jawatankuasa operasi Kementerian Kesihatan, Nashwan al-Atab berkata, serangan tersebut turut mengakibatkan 351 orang cedera.

Al Jazeera, dalam pada itu, IS dalam kenyataannya berkata serangan tersebut hanyalah permulaan dan berikrar akan meningkatkan lagi tekanan ke atas puak Houthi.

"IS akan terus membanteras Houthi dan menghentikan campur tangan Safavid (Iran) di Yaman," katanya.

Sementara itu, kumpulan al-Qaeda di Semenanjung Arab mengeluarkan kenyataan bahawa ia tiada kena mengena dengan pengeboman itu.