Tuesday, 24 March 2015

Huthi kuasai Taiz

PENUNJUK perasaan anti-Huthi mengusung rakan mereka yang cedera selepas pertempuran berlaku dengan militan Syiah itu di Taiz, semalam.
Aden (Yaman): Militan Huthi Syiah yang dibantu penyokong bekas Presiden Ali Abdullah Saleh menawan Taiz, bandar ketiga terbesar di Yaman dan lapangan terbangnya semalam, kata pegawai keselamatan dan tentera.
Perkembangan terbaru itu menyebabkan beribu-ribu penduduk bandar berkenaan keluar ke jalan raya sebagai tanda protes.
Taiz adalah ibu kota wilayah Taiz yang mempunyai paling ramai penduduk di Yaman dan kejadian itu dianggap satu tamparan besar kepada Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.
Abed Rabbo menubuhkan pangkalan di bandar Aden yang terletak kira-kira 140 kilometer dari Taiz selepas melarikan diri dari ibu negara itu, Sanaa pada bulan lalu.
Penawanan Taiz berlaku sehari selepas kumpulan militan Huthi mengerakkan anggotanya menentang askar yang setia kepada Abed Rabbo.
Abed Rabbo sebelum itu mencabar kumpulan berkenaan dalam satu ucapan pertama beliau selepas melarikan diri dari Sanaa.
Komander satu unit khas tentera yang berpangkalan di Taiz, Hamoud al-Harathi enggan mengiktiraf Abed Rabbo sebagai presiden yang sah.
Sementara itu, beribu-ribu penduduk di Taiz melancarkan tunjuk perasaan menentang militan Huthi dan Ali Abdullah.
Militan Huthi terpaksa melepaskan tembakan ke udara dan memukul penduduk dengan belantan bagi menyuraikan mereka.
Kumpulan itu menawan Sanaa pada September lalu dan kini menguasai sembilan daripada 21 wilayah di Yaman.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 8:55 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38708#sthash.mY9cCoDm.dpuf

No comments:

Post a Comment