
KEPULAN asap tebal menyelubungi lapangan terbang Sanaa selepas tentera pakatan diketuai Arab Saudi membedil lapangan terbang itu, kelmarin. AP Photo/Hani Mohammed)
ADEN 29 April – Pesawat pejuang tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi mengebom lapangan terbang Sanaa di Yemen dan bandar Hodeidah, semalam bagi menghalang pesawat Iran menghantar bekalan senjata kepada pemberontak Houthi, menyebabkan 30 orang terkorban.
Naib Presiden Yemen, Khaled Bahah sebelum ini menggesa pemberontak Houthi mematuhi resoulsi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan pertempuran di Yemen, yang disifatkan Pertubuhan Palang Merah sebagai malapetaka kemanusiaan.
Para pegawai di lapangan terbang Sanaa berkata, jet-jet pejuang diketuai Arab Saudi membedil sebuah pesawat awam milik syarikat penerbangan Yemeni Felix Airways dan sebuah lagi pesawat kargo sehingga menyebabkan pesawat itu terbakar.
Seorang pegawai penguatkuasa penerbangan awam Yeman berkata, 20 serangan udara dilancarkan ke atas lapangan terbang Sanaa mengakibatkan kedua-dua landasan berlepas dan mendarat rosak menyebabkan usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Yemen menjadi sukar.
Seorang jurucakap tentera perikatan berkata, tentera bersekutu mengebom landasan itu bagi menghalang sebuah pesawat Iran mendarat selepas ia enggan bekerjasama dan juruterbangnya tidak mengendahkan arahan supaya berpatah balik.
Agensi berita Iran, IRNA mengesahkan juruterbang itu tidak mempedulikan amaran yang dikeluarkan jet pejuang Arab Saudi supaya berpatah balik sebelum landasan itu dibom.
Menurut agensi berita itu, pesawat tersebut dipercayai membawa bantuan kemanusiaan ke Sanaa.
Arab Saudi turut mengisytiharkan ruang udara dan pantai Yemen sebagai kawasan larangan bagi menghalang penghantaran berkalan senjata kepada pemberontak Houthi. – REUTERS