Tentera Laut AS berkata, pihaknya menghantar kapal USS Theodore Roosevelt diiringi kapal dilengkapi peluru berpandu kawalan jauh, USS Normandy bagi memastikan laluan perkapalan utama di rantau itu bebas dan selamat daripada ancaman.
Jurucakap Pentagon, Kolonel Steven Warren menafikan laporan yang menyatakan USS Theodore Roosevelt diarahkan untuk memintas kapal Iran yang didakwa membawa senjata kepada Houthi.
Dengan penghantaran itu, jumlah kapal AS yang berada di perairan itu kini berjumlah sembilan buah.
Konvoi kapal tentera laut Iran tersebut yang terdiri daripada sembilan kapal termasuk dua bot peronda turut dihantar ke perairan itu, namun destinasi sebenarnya tidak diketahui.
Seorang pegawai AS berkata, konvoi kapal Iran tersebut telah melalui Selat Hormuz bagi meninggalkan Teluk dan kini menghala ke barat, mungkin ke arah Yemen.
AS menyatakan Washington tidak akan mengambil peranan secara langsung dalam serangan ke atas pemberontak Houthi, namun menyediakan bantuan risikan dan logistik.
Beberapa pegawai AS berpendapat, Arab Saudi, Mesir dan sekutu negara Arab yang akan memintas kapal-kapal Iran berkenaan jika tindakan itu diperlukan.
Peranan Iran dalam krisis Yemen sangat sensitif selepas pihak berkuasa Yemen menolak tawaran Teheran untuk menjadi orang tengah.
Dalam pada itu, jumlah korban dalam serangan udara diketuai Arab Saudi ke atas kawasan dipercayai depot senjata pemberontak Houthi di Sanaa meningkat kepada 38 orang, manakala 532 orang lagi cedera. – AFP