![]()
ASAP tebal kelihatan semasa serangan udara ke atas Istana Republikan di bandar Taez, barat daya Yemen kelmarin.- REUTERS
|
ADEN – Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh di Yemen kelmarin selepas jet-jet pejuang pakatan Arab Saudi menggempur pemberontak Houthi yang mara ke bandar Aden, manakala pertempuran semakin sengit di Taez, kata beberapa pegawai.
Seorang gabenor wilayah, Abedrabbo al-Mihwali berkata, empat kenderaan perisai dan dua kereta kebal musnah dalam serangan ke atas sebuah konvoi puak Houthi yang menuju ke pangkalan udara terbesar di Yemen, al-Anad.
Pangkalan tentera itu dijadikan pos pemerhatian utama dalam perang pakatan Amerika Syarikat ke atas al-Qaeda di Yemen. Ia dikosongkan oleh tentera Barat selepas kemaraan pemberontak Houthi pada bulan lalu.
“Di bandar pelabuhan Aden, seramai 32 pemberontak Houthi merupakan antara 40 orang yang terbunuh dalam pertempuran dan serangan udara sejak 24 jam lalu,” kata sumber tentera.
“Kebanyakan militia Houthi itu terbunuh dalam beberapa serangan hendap di daerah Dar Saad di Aden,” tambahnya.
Di bandar Taez pula, lebih 16 orang maut selepas tentera yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi memberikan tentangan sengit bagi menangkis serangan pemberontak Houthi ke atas pangkalan mereka.
“Tiga orang awam antara mangsa yang mati apabila sebutir peluru meriam sesat mengenai kediaman mereka,” kata sumber tentera dan penduduk setempat.
Kemaraan pemberontak Houthi banyak dibantu oleh tentera yang setia kepada bekas presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh yang dipaksa meletak jawatan pada 2012 susulan gelombang kebangkitan rakyat Yemen. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3XhqupeEa
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment