
Penduduk Yemen menguruskan pengebumian seorang anggota pemberontak Houthi yang terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan militia yang setia kepada Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi di Taez, kelmarin. AFP
ADEN 19 April – Kerajaan Yemen menolak pelan damai yang dibentangkan oleh Iran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelesaikan konflik di Yemen, ketika tercetus pertempuran terbaharu antara pemberontak Houthi dan tenterakerajaan di selatan negara ini, menyaksikan 21 orang terbunuh.
Jurucakap kerajaan Yemen, Rajeh Badi berkata, kerajaan menolak inisiatif Iran tersebut.
“Inisiatif itu hanya bersifat politik,’’ katanya.
Kerajaan Yemen dan sekutunya, Arab Saudi menuduh Iran campur tangan dalam urusan dalaman Yemen dalam usaha memperluaskan pengaruh mereka di rantau ini.
Dalam pada itu, sebanyak 10 anggota pemberontak Houthi dan empat anggota militia yang menyokong Presiden, Abdrabbuh Mansour Hadi maut dalam pertempuran di Taez, sebelum subuh tadi.
Anggota puak Sunnah turut membunuh tujuh anggota Houthi ketika menyerang kedudukan kumpulan pemberontak itu di Ataq, wilayah Shabwa.
Seorang ketua puak di Shabwa berkata, tiga suspek anggota militan al-Qaeda turut maut dalam serangan pesawat tanpa pemandu (drone) Amerika Syarikat (AS). – AFP
No comments:
Post a Comment