![]() |
Saiful (tengah, belakang) bersama rakan-rakan seperjuangannya di Yaman. |
Antara pelajar berkenaan ialah Mohd Saiful Hafiz, 22, anak sulung kepada Adun Paka, Satiful Bahri Mamat bersama 37 lagi rakannya.
Apa yang bermain di fikiran anak-anak muda itu, selagi keadaan masih terkawal, selagi itulah mereka tidak akan berganjak dan lebih utama adalah memikirkan pengajian mereka mungkin akan terbantut sekiranya pulang ke tanah air.
Satiful berkata, sekarang sudah masuk dua tahun anaknya Saiful Hafiz menyambung pengajian dalam bidang Bahasa Arab di sebuah universiti sains dan teknologi di ibu negara Yaman dan sebelum ini, rumah sewa anaknya juga pernah dibom.
Menurutnya, disebabkan pergolakan berlaku, sebahagian besar rakan-rakan anaknya terutama yang sudah mendirikan rumah tangga mengambil keputusan pulang ke tanah air manakala rata-rata yang tinggal adalah pelajar bujang.
“Sebelum ini dia pernah pulang ke Malaysia sewaktu cuti semester dan rumah sewanya telah dibom dalam satu pergolakan, tetapi kejadian itu tidak meninggalkan rasa gerun kepadanya.
“Selepas dibom, anak saya berpindah ke rumah sewa yang lain dan sekarang, berlaku pergolakan lagi, tetapi kawasan tempat dia belajar tidak terlibat secara langsung dalam serangan itu.
“Buat masa sekarang, universiti tempat dia belajar mengisytiharkan cuti selama tiga minggu akibat pergolakan itu, tetapi dia dan rakan-rakan tetap tidak mahu pulang ke kampung.
“Lagipun, katanya tidak lama lagi mereka akan menjalani peperiksaan dan jika pulang, mungkin akan menimbulkan masalah. Bagaimanapun jika selepas itu universiti masih lagi ditutup kerana darurat, kemungkinan mereka akan balik juga.
“Setakat ini dia meyakinkan kami, rumah sewanya masih selamat dan keadaan masih terkawal serta berada dalam keadaan selamat.
“Saya pun tidak mahu paksanya pulang kerana yakin dengan keselamatannya dan sebelum ini, dia memang belajar di luar negara termasuk lima tahun di Mesir serta berada di sana ketika peperangan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga bapa kepada 12 anak berkata, walaupun Saiful Hafiz tidak pulang, tetapi keluarga tetap berhubungan setiap hari.
“Dia akan memaklumkan keadaan dan perkembangan di sana dari semasa ke semasa supaya dapat meyakinkan kami tentang keselamatan di sana.
“Jika keadaan genting, barulah mereka akan memilih untuk pulang dan bagi mereka, keadaan rakyat di sana lebih menyedihkan kerana sekiranya diserang, mereka tiada tempat lain untuk dituju.
“Apa yang saya harapkan, dia dan rakan-rakan akan sentiasa dilindungi ALLAH SWT dan bagi yang pulang, didoakan semoga perjalanan berjalan lancar,” katanya.
No comments:
Post a Comment