SANAA - YAMAN. Arab Saudi kelmarin menyatakan bahawa pakatannya telah melancarkan sebanyak 1,200 serangan udara sejak 26 Mac lalu yang memusnahkan keupayaan peluru berpandu militia Houthi.

Semalam, satu serangan udara oleh pakatan Arab Saudi mengenai sebuah pangkalan tentera di tengah Yaman yang mengakibatkan 15 pemberontak Houthi terbunuh, manakala 12 orang awam maut dalam pertempuran di bandar Aden.

Memetik laporan AFP melaporkan serangan sebelum subuh ke atas kem 22 di al-Dhahra dalam dalam Wilayah Taez, Selatan Yaman itu turut mencederakan lapan pemberontak Houthi.

Pangkalan tentera itu dimiliki pasukan elit, Pengawal Republikan yang masih setia kepada bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh.

Beliau dipaksa meletak jawatan pada 2012 susulan kebangkitan rakyat selama setahun untuk menentangnya.

Ali meminta para pengikutnya supaya berjuang bersama pemberontak Houthi yang menakluki ibu kota Yaman, Sanaa pada September tahun lalu.

Militia Houthi menentang rejim yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Kejatuhan Sanaa memaksa Abedrabbo berlindung di luar negara.