Friday, 17 April 2015

Serangan ke atas Yemen berjaya



beberapa kenderaan rentung terbakar di sebuah stesen minyak selepas serangan udara di bandar Saada, Yemen kelmarin. - REUTERS


WASHINGTON – Kempen serangan udara yang diketuai Arab Saudi terhadap pemberontak Syiah Houthi di Yemen dianggap sangat berjaya dan menjangkaui sasarannya, kata duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
"Sejak tiga minggu lalu, kempen ini telah berupaya memusnahkan banyak insfrastruktur ketenteraan yang dimiliki bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh dan pemberontak Houthi," kata Adel al-Jubeir.
Adel memberitahu pemberita di Washington bahawa pihaknya mula melihat keretakan dalam kepimpinan pemberontak Houthi dan tentera Ali Abdullah serta melihat komander tentera kembali berpihak kepada tentera Yemen.
"Kami menjangka untuk melihat lebih banyak kesan memandangkan tekanan yang semakin hebat," katanya sambil menambah operasi itu akan berterusan sehingga objektif mereka tercapai.
Arab Saudi dan sekutunya dari negara-negara Arab telah melancarkan serangan udara bermula 26 Mac lalu selepas tentera pemberontak menawan bandar Sanaa pada akhir tahun lalu.
Pemberontak Syiah Houthi kemudian mara ke bandar Aden, selatan Yemen tempat di mana Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi mendapatkan perlindungan sehingga memaksanya melarikan diri ke Riyadh.
Puak Houthi bersekutu dengan tentera yang setia kepada Ali Abdullah yang dipaksa meletak jawatan pada 2012 berikutan protes di seluruh negara terhadap tiga dekad pemerintahannya.
Adel berkata, penghantaran senjata kepada pemberontak Houthi oleh Iran juga kelihatan telah dihentikan sejak bermulanya serangan udara intensif di Yemen.
"Tidak ada alasan untuk Iran mencampuri urusan di Yemen. Mereka sepatutnya menyokong semua rakyat Yemen. Itulah cara bagaimana untuk kita membawa kestabilan dan keselamatan," katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3XVs49qjR 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment