Menurut satu sumber tempatan yang tidak mahu dikenali, militan IS menyerbu sekolah-sekolah di kawasan perumahan di al-Qayyarah, al-Shura, Badoush dan al-Baaj di bandar itu yang terletak kira-kira 400 kilometer di utara Baghdad, hari ini sebelum menculik kanak-kanak itu.
Kata sumber itu, nasib dan lokasi kanak-kanak sekolah itu masih tidak diketahui, lapor rangkaian televisyen satelit Iraq, al-Sumaria yang dipetik portal Presstv.
Dalam pada itu, pegawai Parti Demokratik Kurdistan (KDP), Saeed Mamouzini berkata, militan IS telah membunuh 21 anggota parti itu yang cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Iraq dengan kesemua mangsa dipercayai ditembak mati dikhalayak awam di Mosul.
Menurut laporan semalam, militan IS membunuh lebih 30 orang termasuk wanita dan kanak-kanak di wilayah Anbar, barat Iraq selepas menuduh mereka bekerjasama dengan tentera dan kumpulan bersenjata yang menyokong kerajaan.
Satu sumber keselamatan yang tidak mahu dikenali berkata, sebanyak 33 orang ditawan oleh kumpulan militan itu, kelmarin ketika kumpulan militan itu menawan kawasan Albu Farraj di utara wilayah Ramadi.
Menurut sumber itu, kumpulan militan itu dilapor membunuh 15 orang yang dipercayai bekerjasama dengan pasukan keselamatan Iraq dengan 18 orang lagi penduduk Albu Farraj dijatuhi hukuman mati atas faktor yang sama tidak lama kemudian.
“Kesemua mangsa ditembak di kepala,’’ tambah sumber itu.