
ASAP tebal dilihat selepas serangan udara di Istana Republikandi Taez, kelmarin. REUTERS
NEW YORK 18 April - Iran semalam membentangkan pelan damai Yemen melibatkan empat perkara kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan menggesa serangan udara tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi ke atas kumpulan pemberontak Houthi dihentikan.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, Teheran bersedia untuk membantu PBB mengembalikan keamanan di Yemen ketika Houthi menguasai sebahagian besar ibu negara itu dan mengakibatkan Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi hidup dalam buangan.
Empat perkara itu adalah: meminta gencatan senjata dan menghentikan segera serangan udara oleh tentera perikatan, penghantaran segera bantuan perubatan dan kemanusiaan, rundingan damai diadakan semula dan pembentukan kerajaan perpaduan nasional.
“Masyarakat antarabangsa perlu terlibat secara lebih berkesan dalam menghentikan serangan udara tidak masuk akal itu dan mewujudkan gencatan senjata,’’ kata Zarif dalam sepucuk surat kepada Ki-moon.
Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan adalah dengan membenarkan semua parti di Yemen mewujudkan kerajaan perpaduan nasional mereka sendiri tanpa campur tangan asing.
Dalam perkembangan berasingan di Yemen, sekurang-kurangnya 76 orang maut ketika jet pejuang tentera perikatan mengebom kedudukan pemberontak di Aden dan pertempuran baharu meletus di Taez antara pemberontak dengan tentera yang setia kepada Abdrabbuh.
Pegawai wilayah, Abedrabbo al-Mihwali berkata, sekurang-kurangnya 20 pemberontak terbunuh dan dua kereta kebal termasuk empat kenderaan perisai musnah dalam serangan udara tentera perikatan ke atas konvoi pemberontak yang sedang keluar dari pangkalan udara Al-Anad, semalam.
Selain itu, menurut jurucakap tentera, sebanyak 32 pemberontak merupakan antara 40 orang terbunuh dalam pertempuran dan serangan udara sepanjang tempoh 24 jam lalu dengan kebanyakan anggota tersebut maut akibat serang hendap di Dar Saad, bandar kedua terbesar di selatan Yemen.
Di Taez, sekurang-kurangnya 16 terbunuh ketika tentera yang setia kepada Abdrabbuh memberi tentangan sengit terhadap serangan oleh pemberontak dan tentera sekutunya di pangkalan kumpulan tersebut.
Sementara itu, bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh berkata, beliau tidak akan meninggalkan negara itu sekali gus mengetepikan laporan oleh media negara Teluk bahawa beliau sedang mencari laluan keluar yang selamat ketika tentera perikatan menyerang tentera yang setia kepadanya dan pemberontak Houthi.
– AFP/REUTERS
No comments:
Post a Comment