
Haidar al-Abadi bersalaman dengan seorang askar Iraq pengikut Sunnah ketika melawat Kem Habbaniyah di bandar Ramadi timur Iraq pada 8 April lalu. REUTERS
WASHINGTON 16 April. – Perdana Menteri Iraq, Haidar al-Abadi melahirkan kebimbangan pertempuran di Yemen akan mencetuskan perang serantau dan mencadangkan agar konflik tersebut dihentikan secepat mungkin.
Abadi melahirkan kebimbangan itu selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin Amerika Syarikat (AS) di Washington.
Beliau berkata, pemimpin AS turut berkongsi kebimbangan itu.
Pemimpin Iraq itu, menemui Presiden AS, Barack Obama pada Selasa lalu.
Abadi turut menyatakan bahawa adalah lebih sukar untuk meyakinkan Arab Saudi untuk menghentikan serangannya di Yemen.
Arab Saudi mengetuai kempen serangan udara sejak tiga minggu lalu ke atas pemberontak Houthi di Yemen yang bersekutu dengan Iran yang mengambil alih pusat pentadbiran di Sanaa dan memaksa Presiden Yemen melarikan diri ke Riyadh.
Ketika ditanya tentang usaha Iran untuk menjadi orang tengah dalam undingan damai di Yemen, Abadi berkata; “Daripada apa yang dimaklumkan oleh pentadbiran Obama kepada saya, Arab Saudi tidak mahu memberi kerjasama kepada usaha itu. Mereka (Arab Saudi) tidak mahu gencatan senjata diadakan sekarang”.
Bagaimanapun White House menafikan Obama mengkritik Arab Saudi dalam perbincangannya dengan Abadi, sebaliknya memperbaharui sokongan AS kepada kempen anti-Houthi yang dilancarkan Arab Saudi dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC)
“Kami dengan tegas menyokong operasi yang diketuai GCC ketika ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan, Alistair Baskey. – AGENSI
Duta Arab Saudi ke AS, Adel al-Jubeir berkata, beliau tidak mendengar kritikan yang dilontarkan AS mengenai operasi tersebut.
No comments:
Post a Comment