Wednesday, 15 April 2015

Mesir, Arab Saudi bincang gerakan ketenteraan di Yaman

RABU, 15 APRIL 2015 @ 8:15 AM

ADEN: Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan senjata menyasarkan pemberontak Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman ketika pertempuran di selatan negara itu kian sengit. Mesir menyatakan ia dan Arab Saudi sudah berbincang mengadakan "gerakan ketenteraan" dengan negara Teluk lain susulan perbincangan mengenai kemajuan kempen serangan udara ke atas puak Houthi sejak tiga minggu lalu. Kenyataan Pejabat Presiden Mesir itu menunjukkan bahawa anggota pakatan negara Arab itu mungkin melancarkan gerakan di darat susulan serangan udara atau sekurang-kurangnya menunjukkan kekuatan di sempadan. Beberapa negara Arab mengebom kedudukan puak Houthi dalam usaha membantu pasukan militia yang menahan kemaraan kumpulan itu dan unit tentera yang setia dengan bekas presiden yang digulingkan, Ali Abdullah Saleh. Resolusi Majlis Keselamatan PBB itu juga menuntut puak Houthi berhenti bertempur dan berundur dari kawasan yang ditawan, termasuk ibu negara Sanaa.



TENTERA yang setia dengan Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi, berkawal dengan kereta kebal di bandar pelabuhan Aden ketika pertempuran dengan pemberontak Houthi di selatan negara itu kian sengit. - Foto Reuters

No comments:

Post a Comment