Setiausaha Kabinet Indonesia, Andi Widjajanto berkata, pihaknya menerima pelawaan itu daripada wakil OIC dan mereka mengharapkan Jakarta mampu memberi sumbangan bagi menyelesaikan kemelut di Yemen.
“OIC meminta Indonesia membincangkan hal itu pada sidang pemimpin Asia-Afrika pada minggu depan,” kata Andi tanpa mengulas perancangan Jakarta untuk memulakan rundingan tersebut.
Indonesia akan menjadi tuan rumah sidang Asia-Afrika, selama lima hari yang akan diadakan di Jakarta dan Bandung bermula Isnin ini, dan berpuluh-puluh pemimpin daripada kedua-dua rantau dijangka menghadiri persidangan itu.
Dalam perkembangan berasingan, wakil keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Yemen, Jamal Benomar meletak jawatan, hari ini selepas kehilangan sokongan daripada negara Teluk terhadap keupayaan beliau menyelesaikan kemelut di negara itu.
Satu sumber PBB berkata, Jamal melepaskan jawatan itu dengan rela hati dan seorang diplomat Republik Mauritania, Ismail Ould Cheikh Ahmed yang kini mengetuai misi PBB menangani ancaman penyakit Ebola di Accra dijangka akan menggantikan jawatan beliau.
Negara-negara Teluk mendakwa Jamal ditipu oleh pemberontak Houthi untuk mengadakan rundingan damai, sebaliknya kumpulan pemberontak terbabit melancarkan serangan bagi menguasai lebih banyak kawasan.
Pertempuran di Yemen dilapor semakin merebak selepas tentera bersekutu diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas kedudukan pemberontak Houthi yang menguasai Sanaa sejak tahun lalu. – AFP/REUTERS