Setiausaha Negara Amerika Sya­rikat (AS), John Kerry menggesa tentera antikerajaan untuk mengadakan dialog bagi menamatkan konflik selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, hampir 1,000 orang terkorban di Yemen sejak akhir Mac lalu.
“Ini merupakan penyelesaian dua hala. Kami mahu pemberontak Houthi dan juga pihak lain yang boleh mempengaruhi kedua-dua pihak supaya bersedia untuk menamatkan pertempuran dan meng­adakan rundingan,” ujarnya.

Kelmarin, PBB dalam satu ke­nyataan berkata, Ismail Ould Cheikh Ahmed telah disahkan sebagai utusan baharu ke Yemen dan disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.
Beliau menggantikan Jamal Be­nomar yang meletakkan jawatan minggu lalu.

Pertempuran itu meningkatkan kebimbangan bahawa Yemen bakal menjadi mangsa perang proksi di negara Teluk yang dikuasai pemerintah Sunnah dengan golongan Syiah Iran.
Teheran bagaimanapun menolak tuduhan pihaknya menyalurkan senjata kepada Houthi dan membentangkan pelan damai kepada PBB, menggesa gencatan senjata serta penubuhan kerajaan perpa­duan di Yemen. – AFP