![]() |
Kakitangan syarikat penerbangan Yemenia membuat demonstrasi menggesa larangan terbang bagi pesawat mereka dihentikan di luar ibu pejabat PBB di Sanaa. |
PBB berkata dalam satu kenyataan, Jamal Benomar ‘berminat beralih ke tugasan lain’ dan penggantinya akan dinamakan tidak lama lagi.
Pemergian Jamal mewujudkan satu kelompangan politik di Yaman kerana selama ini dia menjadi orang antarabangsa yang memainkan peranan penting bagi menyelesaikan masalah di antara pihak bertelagah, walaupun selepas beberapa diplomat meninggalkan kedutaan masing-masing selain kakitangan PBB sendiri juga menarik diri.
Jamal yang berkhidmat sebagai utusan di Iraq dan Afghanistan, dikritik teruk kerana usahanya di Timur Tengah, sebagai orang tengah untuk mencapai keamanan kurang berhasil.
Kini, Yaman sudah beberapa minggu menghadapi serangan udara di bawah pakatan ketenteraan Arab, dalam usaha mengundurkan pemberontak Syiah Houthi yang berada di selatan negara itu yang menyebabkan presiden Abed Rabbo Mansour Hadi melarikan diri.
PBB dalam kenyataannya, ia akan berusaha mengadakan semula rundingan damai, namun keadaan semakin mencabar apabila pertempuran di Yaman kini menjadi perang secara tidak langsung antara Saudi serta sekutunya yang berfahaman Sunni dengan Iran yang menyokong Houthi sebagai pengikut Syiah.
Lebih 700 orang terbunuh sejak serangan udara dilancarkan.
Menurut diplomat yang dirahsiakan identitinya, beberapa menteri dari Majlis Kerjasama Teluk (OCC) yang rata-rata dianggotai negara berfahaman Sunni menemui Setiausaha Agung Ban Ki-moon ketika lawatannya ke Kuwait, hujung Mac lalu dan mengadu rasa tidak puas hati dengan Jamal.
Tekanan terhadap Jamal yang berkelahiran Maghribi itu meningkat selepas Houthi semakin mara sejak beberapa minggu ini. Akhir minggu lepas, duta Saudi ke PBB membayangkan Jamal melepaskan jawatannya.
Jamal yang pernah menjadi banduan politik ketika masih pelajar di Maghribi, ditugaskan pada 2011 untuk membimbing peralihan aman untuk Yaman akibat kemelut berpunca daripada Arab Spring.
Pada mulanya Jamal dipuji malah Yaman dianggap contoh untuk peralihan aman, namun proses itu malangnya terganggu akibat peningkatan keganasan.
Majlis Keselamatan PBB minggu ini mengenakan sekatan senjata ke atas pemimpin Houthi dan sekali lagi menuntut mengundur dan menghentikan keganasan.
Majlis itu juga mengenakan sekatan senjata ke atas bekas presiden Ali Abdullah Saleh yang kini bekerjasama dengan Houthi.
OCC mewujudkan perancangan untuk peralihan politik di Yaman, tetapi hanya sebahagian dilancarkan.
Majlis Keselamatan minggu ini meminta rundingan diketuai PBB disambung semula dan pelaksanaan penuh rancangan berkenaan yang termasuk merangkakan perlembagaan serta proses pilihan raya. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:32 AM- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44320#sthash.L60bmcgy.dpuf
No comments:
Post a Comment