Ahli keluarga warganegara Sudan, saling berpelukan selepas tiba dari Sanaa, Yemen di Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, kelmarin. REUTERS
SANAA 13 April - Kira-kira 16,000 orang rakyat asing masih terkandas di Yemen ketika usaha menggempur pemberontak kumpulan Syiah, Houthi diketuai Arab Saudi, digiatkan lagi dengan bantuan Amerika Syarikat.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) semalam menyatakan, pihaknya juga menerima permohonan 38 buah negara lain yang meminta bantuan membawa pulang rakyat mereka.
Menurut portal berita, Al Jazeera, daripada jumlah tersebut, hanya sebanyak 143 orang telah dipindahkan semalam dari Sanaa ke Khartoum, Sudan.
Mereka yang telah dibawa keluar adalah warganegara Sudan, Ethiopia, AS, Nigeria, Korea Selatan, Syria, Iraq, Indonesia, dan beberapa negara Eropah.
IOM memaklumkan, urusan membawa keluar rakyat asing akan diteruskan dari negara ini.
“Operasi memindahkan rakyat asing semalam berjalan lancar. Urusan mengeluarkan baki lagi 16,000 orang akan dilaksanakan secepat mungkin,” jelas IOM dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan terbaharu, seorang pekerja bantuan dari badan kebajikan Oxfam bernama Nuha memberitahu, situasi kemanusiaan di Sanaa semakin meruncing.
“Serangan udara oleh tentera pakatan berlaku sepanjang hari. Bekalan bahan api juga semakin berkurang,” katanya.
Sementara itu, Wall Street Journal semalam menyatakan, Tentera Laut AS meningkatkan rondaan untuk mengekang penghantaran senjata kepada pemberontak Houthi oleh Iran.
No comments:
Post a Comment