ADEN 23 April - Tentera perikatan diketuai Arab Saudi hari ini kembali melancarkan serangan udara dengan menjadikan kumpulan pemberontak Houthi di Aden dan Ibb sebagai sasaran, sehari selepas pengumuman menamatkan kempen serangan udara di Yemen dibuat.
Seorang penduduk berkata, serangan udara itu menyasarkan kereta kebal milik pemberontak Houthi di kawasan perkampungan di Aden.
Di Ibb, tengah Yemen, penduduk melaporkan serangan udara bertalu-talu dilancarkan ke terhadap tempat simpanan senjata dan kedudukan pemberontak Houthi di wilayah tersebut pada awal pagi ini.
“Antara sasaran tersebut adalah sebuah pangkalan tentera di bandar al-Kafr, satu lokasi di Hubaysh, sebuah kolej di pinggir Ibb, dan satu lokasi di Yarim,’’ kata mereka.
Dalam pada itu, Houthi mendesak tentera perikatan menamatkan sepenuhnya serangan sebagai tuntutan untuk mengadakan rundingan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kami menggesa penamatan sepenuhnya tindakan agresif di Yemen bagi membolehkan dialog politik disambung semula di bawah tajaan PBB,’’ kata jurucakap kumpulan pemberontak itu, Mohammed Abdulsalam.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon merayu kempen ketenteraan di Yemen ditamatkan dan menawarkan kemudahan diplomatik bagi menyelesaikan konflik berkenaan.
Ki-moon berkata, beliau telah mencadangkan pengganti kepada utusan khas PBB, Jamal Benomar yang meletak jawatan selepas tidak lagi mendapat sokongan daripada negara-negara Teluk untuk membantu menyelesaikan konflik di Yemen itu. – Reuters/AFP
No comments:
Post a Comment