Saturday, 11 April 2015

Pakistan pilih berkecuali

AFP
Islamabad: Parlimen Pakistan semalam mengundi untuk tidak mencampuri konflik di Yaman seterusnya menolak desakan Arab Saudi supaya Islamabad menyertai serangan bersekutunya terhadap pemberontak Houthi Syiah di negara itu.
Resolusi sebulat suara itu dicapai dalam sesi khas Parlimen menyokong komitmen kerajaan untuk melindungi wilayah Arab Saudi yang setakat ini masih belum diancam konflik berkenaan.
Namun, katanya peranan wajar dimainkan Pakistan adalah sebagai perantara dan bukan terbabit secara langsung dalam pertempuran di Yaman, seterusnya menolak permintaan Riyadh untuk mengerah askar, kapal serta jet pejuang.
“Parlimen Pakistan menganggap penting bagi kerajaan mencari penyelesaian secara aman bagi krisis itu.
“Parlimen mahu supaya Pakistan kekal berkecuali dalam konflik Yaman ini supaya dapat memainkan peranan diplomatik bagi mengakhiri krisis berkenaan,” begitu keputusan resolusi berkenaan.
Kerajaan tidak terikat dengan resolusi itu, namun Perdana menteri Nawaz Sharif berkata, minggu lalu, sebarang penyertaan oleh Pakistan mesti mendapat sokongan Parlimen.
Ia diluluskan selepas lima hari debat diadakan yang melihat kebanyakan ahli Parlimen menggesa supaya Nawaz tidak menghantar askar Pakistan untuk bertempur.
Gabungan tentera negara Muslim Sunni diketuai Riyadh itu melancarkan serangan udara terhadap pemberontak Houthi Syiah di Yaman dalam usaha mengembalikan kuasa Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi.
Arab Saudi berazam mengebom pemberontak - yang didakwanya dibantu Teheran - sehingga mereka menyerah kalah bagi menghalangnya mewujudkan pentadbiran pro-Iran di Yaman.
Pakistan sendiri berdepan konflik berhubung isu Yaman walaupun mempunyai pertalian ketenteraan dan agama dengan Arab Saudi selain turut mendapat keuntungan daripada kekayaan negara minyak itu.
Namun, pada masa sama Islamabad teragak-agak untuk terbabit dalam konflik yang tertumpu kepada perbezaan fahaman agama.
Pakistan sendiri turut berdepan perbalahan membabitkan pengikut Syiah di dalam negara sendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain itu, tentera Pakistan juga sibuk memastikan keselamatan di sempadan India, selain memerangi militan Taliban di barat laut negaranya.
Sehubungan itu, Pakistan berusaha mengambil pendekatan diplomatik sejak seminggu lalu apabila mengadakan perbincangan dengan Turki serta Iran dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap konflik di Yaman.
Dalam resolusi semalam, kerajaan digesa mendekati Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membantu mewujudkan gencatan senjata.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:20 AM


Pejuang setia kepada Abed Rabbo bersedia membedil kedudukan Houthi di selatan Aden, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42969#sthash.wcGawNuo.dpuf

No comments:

Post a Comment