Monday, 20 April 2015

Arab Saudi lancar 1,200 serangan udara di Yemen


KEPULAN asap naik ke udara selepas sebuah akademi tentera di ibu kota Yemen, Sanaa dibom dalam serangan udara pakatan Arab Saudi kelmarin. - AFP


SANAA – Satu serangan udara pakatan Arab Saudi mengenai sebuah pangkalan tentera di tengah Yemen serta membunuh 15 pemberontak Houthi, manakala 12 orang awam maut dalam pertempuran di bandar Aden, selatan negara itu semalam, menurut sumber perubatan dan keselamatan.
Serangan sebelum subuh ke atas Kem 22 di al-Dhahra dalam wilayah Taez, selatan Yemen itu turut mencederakan lapan pemberontak Houthi, kata seorang pegawai perubatan di Hospital al-Thawra.
Pangkalan tentera itu dimiliki pasukan elit, Pengawal Republikan yang masih setia kepada bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh. Beliau dipaksa meletak jawatan pada 2012 susulan kebangkitan rakyat selama setahun untuk menentangnya.
Ali meminta para pengikutnya supaya berjuang bersama pemberontak Houthi yang menakluki ibu kota Yemen, Sanaa pada September tahun lalu. Militia Houthi menentang rejim yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.
Kejatuhan Sanaa memaksa Abedrabbo berlindung di luar negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Arab Saudi menyatakan kelmarin bahawa pakatannya telah melancarkan sebanyak 1,200 serangan udara sejak 26 Mac lalu yang memusnahkan keupayaan peluru berpandu militia Houthi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Xo6g4SLs 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment