
Penyokong pemberontak Syiah Houthi menjulang senjata ketika mengadakan menentang tindakan Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan senjata ke atas pemberontak Houthi di Sanaa, kelmarin. REUTERS
WASHINGTON 17 April – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar gencatan senjata dikuatkuasakan di Yemen bagi memberi laluan kepada rundingan damai dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke negara bergolak itu.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam kenyataannya berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan segera memandangkan dunia ketika ini berdepan banyak cabaran termasuk nasib 50 juta pelarian di seluruh dunia, jumlah terbesar sejak Perang Dunia Kedua.
Beliau berkata, situasi di Yemen semakin ‘runcing’ dan usaha PBB untuk mengadakan rundingan damai merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan perang lebih besar yang boleh mengancam kestabilan rantau Asia Barat.
“Berjuta-juta orang berdepan kebencian dan penindasan, manakala berbilion orang lagi mengalami masalah kebuluran dan eksploitasi.
“Situasi di Syria juga semakin buruk selepas krisis di negara itu memasuki tahun kelima, dan wakil PBB, Staffan de Mistura akan mengadakan siri rundingan di Geneva bagi menyelesaikan konflik tersebut,” katanya.
Ki-moon menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Yemen dan Syria sehari selepas wakil damai PBB ke Sanaa, Jamal Benomar meletak jawatan kerana kegagalan pelan rundingan damai beliau untuk menamatkan perang antara pemberontak Syiah Houthi dan tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi.
Dalam perkembangan sama, sumber PBB memaklumkan bahawa Ki-moon menamakan wakil damai baharu ke Yemen iaitu diplomat Mautitania, Ismail Ould Chiekh Ahmed untuk menggantikan Jamal dengan harapan krisis di Yemen dapat ditamatkan secepat mungkin.
Sumber itu berkata, Ki-moon mengumumkan pelantikan Ismail kepada beberapa anggota Majlis Keselamatan PBB atas pencapaian diplomat veteran itu menjayakan pelan peralihan untuk menyelesaikan konflik politik di Yemen pada 2011. – AGENSI/REUTERS
No comments:
Post a Comment