
Parlimen Pakistan meluluskan resolusi menggesa kerajaan tidak masuk campur dalam konflik Yemen di Islamabad, semalam. Agensi
ISLAMABAD 10 April - Parlimen Pakistan meluluskan resolusi menggesa kerajaan tidak campur tangan dalam konflik di Yemen tetapi menyatakan sokongan kepada operasi ketenteraan yang diketuai Arab Saudi, selain menggesa pihak yang bertelagah menyelesaikan konflik itu secara aman.
Anggota-anggota Parlimen juga tidak mahu Pakistan terlibat dalam operasi ketenteraan di Yemen, keputusan yang akan mengecewakan Arab Saudi.
“Parlimen Pakistan melahirkan kebimbangan serius dengan situasi keselamatan dan kemanusiaan yang semakin teruk di Yemen dan kesannya kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini.
“Pakistan perlu mengekalkan sikap berkecuali dalam konflik di Yemen supaya boleh memainkan peranan diplomatik yang proaktif pada akhir krisis itu,’’ kata resolusi tersebut.
Resolusi itu turut menyatakan bahawa Parlimen Pakistan melahirkan sokongan kepada Arab Saudi dan menegaskan jika berlaku sebarang pencerobohan ke atas wilayah dan kedaulatan atau ancaman, Pakistan akan bersama-sama Arab Saudi dan rakyat menghadapi perkara tersebut.
Tidak dapat dipastikan sama ada resolusi tersebut merupakan satu draf atau resolusi muktamad kerana salinan teks tidak menyatakan perkara itu.
Tentera Pakistan berkata, pihaknya akan menghormati keputusan kerajaan awam.
Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif berulang kali menyatakan bahawa beliau akan mempertahankan Arab Saudi daripada sebarang ancaman. – Reuters
No comments:
Post a Comment