
Gambar fail bertarikh 9 Mac 2010, menunjukkan kapal perang Iran, Jamaran, menembak peluru berpandu jarak jauh, Noor, semasa satu latihan ketenteraan di perairan Iran. AGENSI
DUBAI 8 April - Iran menghantar dua buah kapal perang ke Teluk Aden, hari ini bagi mengukuhkan kehadiran tentera negara itu di perairan Yemen, ketika tentera Arab Saudi dan negara pakatan melancarkan kempen serangan udara terhadap pemberontak Houthi, yang merupakan sekutu kuat Iran.
Rangkaian televisyen Press TV memetik kenyataan Ketua Turus Tentera Laut Iran, Habibollah Sayyari sebagai berkata, kapal pemusnah Alborz dan kapal sokongan Bushehr belayar dari bandar Abbas bagi melindungi kapal-kapal Iran daripada serangan lanun.
Iran mengutuk serangan itu dan menggesa supaya diadakan dialog, sementara Arab Saudi menuduh Iran membekalkan sokongan ketenteraan kepada pemberontak Houthi, dakwaan yang dinafikan oleh Teheran.
“Kapal-kapal perang Iran berkenaan akan ditugaskan untuk mengawal perairan Teluk Aden, selatan Yemen dan Laut Merah,” kata Habibollah, sambil menambah kata, perairan berkenaan merupakan satu daripada laluan perkapalan utama dunia yang menghubungkan Asia Barat dengan Eropah.
Menurut laporan, kapal berkenaan akan berkawal di laluan maritim berkenaan selama tiga bulan.
Semalam, Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, sejak 19 Mac lalu konflik politik yang berlaku di Yemen mengakibatkan lebih 560 orang awam terbunuh, manakala 1,700 lagi cedera. – REUTERS
No comments:
Post a Comment