Timbalan Setiausaha Negara AS, Tony Blinken memberitahu pemberita di sini semalam, Arab Saudi menghantar ‘mesej yang kuat’ kepada kumpulan pemberontak Houthi dan sekutunya bahawa mereka tidak boleh mentadbir Yemen melalui kekerasan.
“Bagi membantu Arab Saudi dalam usaha itu, kami akan mempercepatkan penghantaran senjata, meningkatkan perkongsian risikan, dan mewujudkan satu sel penyela­rasan perancangan di pusat operasi kami di Arab Saudi,’’ kata Blinken seperti yang dilaporkan portal berita Al Jazeera.
Di Washington, jurucakap Pentagon, Kolonel Steve Warren pula berkata, AS sedang menimbangkan untuk membekalkan senjata kepada sekutunya termasuk mempercepatkan pesanan sedia ada.
Kenyataan Blinken dibuat beberapa jam selepas Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menghantar pasukan perubatan ke Aden, yang pertama selepas situasi kemanusiaan di situ semakin meruncing.
Pertempuran sengit antara pemberontak Houthi dan tentera yang menyokong Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi di bandar pelabuhan itu telah berlanjutan selama beberapa hari, yang kini tertumpu di daerah Mualla.
Sekurang-kurangnya 11 orang maut di Aden, malam tadi dalam pertempuran antara kedua-dua pihak ketika jet pejuang Saudi terus mengebom kedudukan pemberontak Houthi, serangan tentera pakatan terhadap kumpulan itu di Yemen yang masuk minggu ketiga.
Sebanyak lapan anggota pemberontak dan tiga askar yang setia dengan Abdrabbuh terbunuh dalam pertempuran di kawasan perumahan Dar Saad, kata sumber.
Pangkalan Udara Al-Anad di utara bandar itu yang menjadi pusat pemantauan utama dalam perang Amerika terhadap militan al-Qaeda pada bulan lalu yang kini dikuasai pemberontak Houthi, turut menjadi sasaran serangan tentera pakatan.
Dalam perkembangan ber­a­singan, negara-negara Teluk dan Jordan mahu Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bang­sa-Bangsa Bersatu (PBB) membekukan aset dan mengenakan sekatan perjalanan kepada Ahmed Saleh, bekas ketua Pengawal Republikan elit Yemen yang merupakan anak bekas Pre­siden Yemen, Ali Abdullah Saleh dan Abdulmalik al-Houthi, ketua kumpulan pemberontak Houthi, selain menguatkuasakan sekatan senjata kepada kumpulan pembe­rontak tersebut. – AGENSI/AFP