
Penyokong Pergerakan Pemisah Selatan mempertahankan kubu mereka dalam pertempuran dengan pemberontak Houthi di daerah Mansura di bandar pelabuhan Aden di selatan Yemen, kelmarin. AFP
ADEN, Yemen 5 April – Kumpulan pemberontak Syiah Houthi menawan ibu pejabat kerajaan wilayah di sini hari ini, ketika kumpulan itu mara ke kawasan baharu di selatan negara ini, walaupun Arab Saudi yang mengetuai tentera bersekutu meneruskan kempen serangan udara ke atas pemberontak itu.
Seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, pemberontak Houthi mara ke tengah daerah Mualla pada waktu malam dan berjaya merampas kawalan ke atas bangunan kerajaan termasuk pejabat Gabenor.
Saksi berkata, pemberontak itu yang turut disertai pasukan tentera Yemen yang berpaling tadah turut mengebom kawasan kediaman selain membakar rumah-rumah dan bangunan.
Pemberontak Houthi turut menyerang pelabuhan Mualla yang dikawal kumpulan militia yang setia kepada Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi yang kini melarikan diri ke Arab Saudi.
“Penembak hendap mengambil kedudukan di atas bumbung bangunan kerajaan wilayah menjadikan orang awam dan anggota kumpulan militia yang menyokong Abdrabbuh sebagai sasaran,’’ kata anggota kumpulan militia itu, Khalid Bashea.
Sekurang-kurangnya 185 orang dilaporkan terbunuh sejak Houthi mara ke Aden.
Abdrabbuh melarikan diri ke Arab Saudi pada bulan lepas ketika pemberontak Houthi menyerang Aden, yang menjadi kubu terakhir penyokong Presiden Yemen itu.
Houthi berjaya merampas Istana Presiden di Aden tiga hari lalu, namun berjaya diusir oleh tentera kerajaan selepas Arab Saudi dan tentera bersekutu melancarkan serangan udara ke atas pemberontak Houthi. – AFP
No comments:
Post a Comment