Saleh al-Sammad, penasihat Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi memberitahu Reuters dalam e-mel jawapan berkata, penduduk Yemen menolak kepulangan Abdrabbuh yang melarikan diri ke Arab Saudi, selepas kumpulan Houthi mara menghampiri kubu Abdrabbuh di Aden pada bulan lalu.
“Kami masih tetap dengan pendirian kami mengenai dialog (rundingan damai), dan kami menuntut ia diteruskan walaupun semua sudah berlaku, atas dasar menghormati dan mengiktiraf satu sama lain,” ujar Saleh.
Pesawat pejuang dan kapal tentera laut tentera pakatan diketuai Arab Saudi telah melancarkan serangan ke atas pemberontak Houthi sejak 11 hari lalu untuk mengembalikan kuasa kerajaan kepada Abdrabbuh.
Rundingan yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini antara Abdrabbuh dan pemberontak Houthi telah menemui kegagalan.
Katanya, pemberontak Houthi tidak meletakkan sebarang syarat, kecuali menghentikan kekerasan dan mengadakan rundingan dalam masa yang ditetapkan, manakala pihak-pihak serantau dan antarabangsa yang tidak mengamalkan pendekatan kekerasan terhadap penduduk Yemen boleh memantau rundingan tersebut, tnpa menyatakan siapakah pihak yang dimaksudkan.
Saleh berkata, beliau juga mahukan sesi rundingan itu dapat diikuti oleh penduduk Yemen supaya mereka mengetahui perkara sebenar.
Raja Arab Saudi, Raja Salman, Isnin lalu dipetik sebagai berkata, Arab Saudi juga bersedia untuk mengadakan rundingan politik dengan pihak-pihak yang terbabit dalam konflik di Yemen, di bawah pemerhatian Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Lima daripada enam anggota negara GCC menyertai kempen serangan ke atas Houthi. - REUTERS