
Seorang penduduk Yemen menaiki sebuah lori pikup dipenuhi barangan miliknya ketika melarikan diri dari kawasan kediamannya dekat lapangan terbang antarabangsa di Sanaa, kelmarin ekoran konflik yang semakin kritikal di Yemen. AFP
SANAA 7 April - Pertempuran sengit antara kumpulan pemberontak Houthi dan pasukan tentera yang menyokong Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi di Aden mencetuskan krisis kemanusiaan apabila bekalan air dan makanan semakin berkurangan.
Badan-badan kemanusiaan memberi amaran situasi di Yemen semakin buruk dengan Pertubuhan Bulan Sabit Merah menyatakan mereka terpaksa menangguhkan penghantaran bekalan penting.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata, sebuah pesawat yang membawa kakitangannya berjaya mendarat di Sanaa, semalam namun pertubuhan itu gagal mencari operator pesawat kargo untuk membawa bekalan bantuan masuk ke negara ini.
Jurucakap ICRC, Sitara Jabeen berkata, situasi kemanusiaan di negara ini semakin buruk.
“Situasi Yemen sangat kritikal. Konflik semakin meningkat terutama di Aden. Kami masih cuba mencari sebuah pesawat kargo untuk membawa bekalan ke Sanaa.
“Kami mendapat kebenaran untuk menghantar bekalan tetapi kami tidak mempunyai penyelesaian logistik kepada masalah ini. Jumlah syarikat penerbangan yang beroperasi ke Sanaa semakin kurang dan syarikat penerbangan negara ini juga telah menggantung penerbangan mereka,’’ katanya.
Penolong Pengarang akhbar al-Ayyan, Basharaheel Hisham Basharaheel melaporkan beribu-ribu penduduk di Aden dan Sanaa kini sangat memerlukan bekalan kemudahan asas.
“Bekalan makanan semakin berkurangan. Bekalan air dan elektrik sudah tiada. Kemudahan di hospital pun semakin teruk,’’ katanya.
Tentera yang menyokong Abdrabbuh diketuai Arab Saudi mengebom kubu dan kedudukan Houthi sejak 26 Mac lalu dan membekalkan senjata kepada pasukan yang setia kepada Presiden Yemen itu.
Bagaimanapun, pemberontak Houthi masih memberi tentangan dan menyatakan hanya akan mengadakan rundingan damai jika serangan udara dihentikan.
Lebih 540 orang terkorban dan 1,700 orang cedera sejak pertempuran antara kedua-dua pihak bertelagah itu pada 19 Mac lalu.
Selain itu, lebih 100,000 orang terpaksa dipindahkan ekoran keganasan berkenaan. – AFP
No comments:
Post a Comment