
Ismail SYARIF ,50, dan isterinya, Siti Norisah Maahad, 52, memeluk erat anak perempuan mereka, Norhafidah Ismail, 21, yang selamat tiba dari Jeddah di KLIA, Sepang semalam.
SEPANG – Nyawa ibarat telur di hujung tanduk. Demikian perumpamaan yang dihadapi sekumpulan pelajar Malaysia di Yemen apabila terpaksa berdepan dengan saat-saat getir setelah negara itu diserang tentera bersekutu diketuai Arab Saudi pada 26 Mac lalu.
Pelajar tersebut menceritakan, saban hari mereka diselubungi ketakutan apabila mereka benar-benar berada di tengah medan perang dengan bunyi ledakan bom dan peluru yang tidak mengenal mangsa ‘berterbangan’ di kawasan kediamannya mereka di Sana’a iaitu ibu kota negara tersebut.
Seorang pelajar Malaysia, Syed Asyraf Syed Zain Ariffin, 19, menceritakan, setiap hari dia boleh mendengar bunyi letupan dan tembakan dengan jelas.
“Saya berasa sangat takut ketika langit dihujani bom dan ia meledak berdekatan tempat tinggal kami sehingga dapat merasai gegarannya.
“Rumah sewa kami terletak berdekatan dengan pusat pengajian kami, Ma’ahad Bahasa Arab di Sana’a. Letupan dan tembakan dapat didengar pada pukul 8 malam hingga pukul 5 pagi setiap hari sejak perang tercetus.
“Jika panjat bumbung rumah, kami boleh lihat dengan jelas cahaya letupan dan tembakan udara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Syed Asyraf merupakan salah seorang daripada 47 pelajar Malaysia dari Sana’a dan Hudaidah yang diterbangkan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH151 dari Jeddah, Arab Saudi dan selamat tiba di KLIA pada pukul 11.58 pagi semalam.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3WfiYGUwp
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment