Seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, kumpulan pemberontak itu dan sekutunya menawan kompleks istana Presiden yang terletak di atas sebuah bukit semalam selepas menewaskan penyokong setia Abdrabbuh.
“Mereka telah berundur dari istana Al-Maashiq sebelum subuh,” kata pegawai itu.
Dalam perkembangan sama, kumpulan pemberontak turut dilaporkan berundur dari kawasan berhampiran dekat daerah Khor Maksar ekoran tentangan sengit daripada kumpulan bersenjata yang setia kepada Abdrabbuh.
Sementara itu, ketua agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos mengesahkan seramai 519 orang terbunuh dan hampir 1,700 orang lagi cedera dalam konflik di Yemen sejak dua minggu lalu.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam yang terperangkap dalam pertempuran antara kumpulan yang setia dengan Abdrabbuh dan pemberontak Houthi, selain serangan udara yang dilancarkan oleh Arab Saudi dan sekutunya.
Sumber ketenteraan juga melaporkan, pertempuran terbaharu meletus awal hari ini di sekitar Aden, bandar kedua terbesar di Yemen dan lapangan terbang di wilayah tersebut selepas pesawat tempur Arab Saudi menggempur kedudukan pemberontak Houthi.
Tentera bersekutu turut melancarkan misi bantuan dengan menggugurkan bekalan makanan dan perubatan dari udara kepada penduduk yang berkumpul berdekatan pelabuhan Aden. – AFP