
Militia yang setia kepada Abd-Rabbu kelihatan mengawal di sebatang jalan di selatan bandar pelabuhan Aden kelmarin.
SANAA – Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh termasuk 15 penduduk awam dalam serangan udara tentera pakatan pimpinan Arab Saudi yang menyasarkan militia Syiah Houthi kelmarin.
Jet-jet sekutu itu mengebom pangkalan Houthi di tengah wilayah Ibb menyebabkan 20 pemberontak terbunuh, lapor seorang pegawai tempatan.
Seramai 15 orang awam mati dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila serangan tersebut tersasar ke sebuah kawasan perumahan berdekatan pangkalan militia Houthi.
“Laporan tersebut bagaimanapun masih belum disahkan,” ujar pergawai berkenaan yang tidak mahu identitinya didedahkan.
Arab Saudi bersama lapan kerajaan Sunnah lain melancarkan operasi ketenteraan terhadap militia Houthi pada minggu lalu sebagai tindak balas tindakan mereka memerangi Presiden Yemen, Abd-Rabbu Mansour Hadi.
Sebelum ini, seramai 40 orang termasuk penduduk awam maut dalam serangan udara di sebuah kem pelarian di barat laut Yemen. Militia Houthi menyalahkan Arab Saudi berhubung serangan tersebut.
Menteri Luar Yemen, Riad Yassin pula mendakwa, serangan itu dilancarkan oleh militia Houthi menggunakan meriam.
Arab Saudi dan sekutunya menuduh puak Houthi sengaja menyasarkan peralatan ketenteraannya ke arah kawasan penduduk awam.
Riyadh juga berjanji akan terus menyerang Yemen sehingga Abd-Rabbu mampu memerintah sendiri. – dpa
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3W0Z9UZPv
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment