China pindahkan rakyatnya dari Yaman
Sebuah keluarga bersiap sedia meninggalkan kediaman mereka di Sanaa apabila keadaan semakin meruncing di negara itu. - Foto AFP
BEIJING - CHINA. Tentera laut China telah membawa keluar 571 rakyat dari Yaman, kata pegawai semalam.

Agensi berita Xinhua dipetik sebagai berkata, kesemua warga China terbabit termasuk lapan pekerja asing dipindahkan menggunakan dua kapal tentera ke Djibouti sebelum diterbangkan pulang ke Beijing.

Kerajaan China mengambil langkah itu selepas Arab Saudi dan sekutunya membedil kedudukan pemberontak Houthi di Sanaa, sejak Khamis lalu.

Sebelum ini, India dan Pakistan mengambil langkah sama selepas situasi di Yaman semakin meruncing.

Menurut laporan dpa, dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 40 terbunuh di sebuah kem pelarian di utara Yaman dalam serangan udara yang sepatutnya disasarkan ke atas pemberontak Houthi.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) memberitahu, antara yang maut dalam serangan di Haradh itu adalah wanita dan kanak-kanak.

“Kami belum dapat mengesahkan bahawa ia adalah sebuah kem pelarian. Kami akan meminta agensi-agensi rasmi Yaman mengesahkannya,” kata jurucakap tentera Arab, Brigedier Jeneral Ahmed Asseri.