SANAA - YAMAN. Pemberontak Houthi dan sekutunya terus mara ke daerah utama di bandar Aden tanpa menghiraukan amaran keras dan operasi ketenteraan yang dilancarkan gabungan Arab diketuai Riyadh sejak seminggu lalu.

Penduduk di bandar selatan tersebut mendakwa kumpulan terbabit dilihat memasuki daerah Khor Maksar sambil diiringi empat kereta kebal dan tiga kenderaan berperisai.

Kelmarin, sekurang-kurangnya 19 terbunuh dalam pertempuran sengit antara pemberontak Houthi dan kumpulan militia tempatan serta angkatan bersenjata pro-Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi.

Menurut Al-Jazeera, kakitangan di Hospital Jumhouriya memaklumkan mereka menerima enam mayat orang awam dan lima mayat anggota militan tempatan atau dikenali sebagai Jawatankuasa Popular (PC).

Susulan daripada itu, ramai penduduk mula meninggalkan kediaman masing-masing selepas angka kematian meningkat kepada 122 dalam tempoh lima hari.
Sementara itu, Menteri Luar, Riyadh Yassin turut menyuarakan kebimbangan beliau selepas pemberontak Houthi semakin mara ke bandar terbabit.

"Perkembangan terbaru itu sememangnya akan menjadi 'bencana' kepada penduduk Aden jika bandar tersebut jatuh ke tangan pemberontak Houthi," katanya.

Dalam perkembangan lain, hampir 200 tahanan melarikan diri selepas puluhan anggota militan al-Qaeda menyerang sebuah pusat tahanan di bandar al-Mukallah.

Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan pemimpin kanan al-Qaeda, Khaled Batarfi adalah antara tahanan yang berjaya lolos dalam insiden itu.