Kanak-kanak jadi korban
Kanak-kanak menjadi korban susulan pertempuran yang semakin sengit di Yaman.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 62 kanak-kanak terkorban manakala 30 lagi cedera sejak minggu lalu dalam pertempuran dan serangan udara yang dipimpin Arab Saudi, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Wakil Unicef di Yaman, Julien Harneis memaklumkan, pertempuran meningkat dengan ketara di negara itu selepas pakatan diketuai Saudi melancarkan serangan udara lima hari lalu untuk menyekat kemaraan pemberontak Houthi.

"Kanak-kanak sangat memerlukan perlindungan dan semua pihak perlu berusaha untuk memastikan keselamatan mereka terjaga," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon mengingatkan sesiapa yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Yaman perlu mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan yang bertanggungjawab dalam memastikan perlindungan orang awam.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 37 orang maut dalam satu serangan udara Saudi di sebuah kilang tenusu di wilayah Al Hudaydah dekat bahagian barat negara berkenaan.

Pasukan perubatan berkata, sebahagian daripada kilang itu musnah dan anggota penyelamat kini berusaha  mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. - AFP